Tuesday 21 February 2012

KISAH GADIS YANG SOLEHAH..

.
Apabila menjelang malam, lelaki itu seringkali berjalan sendirian menelusuri jalan yang hanya ditemani cahaya bulan dan melangkah lagi menembusi kedinginan malam yang mencengkam. Lelaki yang dimaksudkan adalah Saidina Umar Al-Khattab. Semasa Khalifah Umar Al-Khattab menjadi pemerintah, beliau seringkali berjalan malam bagi memastikan beliau mengetahui  dan menyelidiki keadaan kehidupan dan menjaga keselamatan rakyatnya. Selepas jauh berjalan, lelaki tersebut berehat sebentar  berdekatan dengan sebuah rumah kecil di hujung lorong bagi melepaskan lelah. Semasa beliau berehat, beliau telah mendengar perbualan seorang ibu dan anak perepmuan tersebut. Mereka hidup dalam kemiskinan dan menyara hidup dengan hasil memerah susu kambing. Ibu gadis tersebut mengeluh kerana kehidupan mereka yang dibelenggu kemiskinan dan tidak mendapat pembelaan daripada pemerintah pada ketika itu. Semasa mereka sedang berbual-bual, susu kambing yang ingin dimasukkan ke dalam sebuah bekas oleh gadis itu tertumpah menyebabkan susu kambing itu hanya tinggal sedikit sahaja. Dengan perasaan sedih, gadis tersebut meminta maaf kepada ibunya disebabkan kecuaian. Ibunya menyuruh gadis tersebut mencampurkan susu kambing itu dengan air supaya bertambah banyak. Dengan nada suara yang lembut, gadis itu memberitahu ibunya bahawa khalifah Umar Al-Khattab telah berpesan supaya berlaku jujur dalam segala perbuatan dan akan merasa marah sekiranya tidak jujur. Namun ibunya tetap bertegas supaya gadis tersebut mencampurkan susu kambing dengan air kerana tiada siapa yang mengetahui perbuatan tersebut selain dari mereka berdua. Lantas, anak gadis yang berhati mulia itu bersuara, beliau berkata meskipun Khalifah Umar Al-Khattab tidak melihatnya ,namun Allah melihat dan mengetahui apa yang sering dilakukan oleh hamba-Nya. Terpegun Khalifah Umar Al-Khattab mendengar kata-kata gadis tersebut dan beristigfar dan tersentuh hati mendengar perbualan ibu dan anak tersebut.

No comments:

Post a Comment